

PUSAT PEMBANGUNAN AKADEMIK (PPA)
Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang
BAHAN BANTU MENGAJAR (BBM)
BBM merupakan alat penting dalam sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP). BBM dapat menjadikan PdP lebih berkesan dan menarik. Seorang guru pelatih menggunakan BBM (Big Book) yang menarik dalam sesi PdP semasa menjalani praktikum di salah sebuah sekolah di Teluk Kumbar. Guru pelatih itu menggunakan BBM berbentuk gambar untuk menarik perhatian dan tumpuan murid-murid. Beliau berjaya dan hal ini memudahkan beliau untuk meneruskan pengajaran. Murid-murid bersedia untuk menerima pengajaran dan guru tersebut lebih yakin untuk mengajar.
BBM yang digunakan juga menjadi alat atau media untuk guru menerangkan isi pelajaran. Untuk menjadikan sesi PdP bersifat dua hala, guru menerang sambil mengemukakan soalan kepada murid-murid. Murid-murid menjawab secara lisan berpandukan maklumat yang terdapat pada BBM yang dipamerkan oleh guru itu. Guru pelatih juga meminta murid-murid mengulang apa yang diterangkan dengan meminta murid-murid membaca semula secara beramai-ramai maklumat yang ditulis pada BBM.
Aktiviti murid juga menggunakan BBM yang menarik. Guru menampal BBM berbentuk soalan dan minta murid menjawab. Murid memilih kad dalam 9 sampul yang disediakan dan melabel kad tersebut pada ruang yang betul dalam soalan. Selepas selesai melabel, murid diminta membaca secara beramai-ramai maklumat yang telah dilengkapkan. Aktiviti seterusnya, murid-murid dibimbing menghasilkan Big Book untuk memuatkan isi pelajaran. Segala bahan telah disediakan oleh guru dan murid-murid secara kumpulan diminta menyusun maklumat dan gambar mengikut kreativiti masing-masing. Kesimpulannya, PdP guru berjaya dilaksanakan dengan baik, menarik dan afektif hasil penggunaan BBM yang berkesan.
... Disediakan oleh Roslan Saadon



ELEMEN KEMAHIRAN BERFIKIR (KBAT) DALAM PENDIDIKAN SEJARAH
Pelajar P2SEJ (PPISMP) IPGKPP dibimbing menghasil dan mewujudkan elemen kemahiran berfikir dalam pengajaran sejarah sekolah rendah. Dua kumpulan dibentuk dan setiap kumpulan diberikan tajuk pengajaran. Kumpulan 1 diberikan tajuk "Rundingan Kemerdekaan" dan Kumpulan 2 diberikan tajuk "Pengisytiharan Kemerdekaan". Sebelum pelajar berbincang, mereka diperjelaskan tentang KBAT dan KBAR. Kemahiran Berfikir Aras Rendah (KBAR) melibatkan aras pengetahuan mengetahui dan memahami. Contoh kata kunci yang pelajar boleh guna antaranya melabel, menyenarai, menyata dan menyalin. Manakala contoh kata kunci untuk KBAT pula adalah menjana idea, menjalankan, menunjuk cara, menyelesai, mentafsir dan mencipta. Selepas diberikan taklimat, mereka diminta berbincang dalam kumpulan dan menghasilkan elemen tersebut pada kertas mahjung untuk dbentangkan.
Kumpulan 1 membentang hasil perbincangan mereka dengan mempamerkan aktiviti pengajaran yang akan dijalankan iaitu lakonan dan perbincangan. Mereka mempamerkan beberapa gambar dan mengemukakan soalan kepada murid yang akan diajar nanti. Satu daripada gambarnya adalah tentang majlis menandatangani Perjanjian Kemerdekaan antara Raja-raja Melayu dengan pihak British. Murid ditanya beberapa soalan yang mudah dan kemudian dikemukakan soalan KBAT iaitu "Bagaimana keadaan negara dan rakyat di Malaysia jika majlis tersebut tidak berlaku?". Seterusnya murid diminta meghasilkan dialog, pakaian yang sesuai daripada kertas untuk mereka yang terlibat dalam majlis menandatangani persetiaan kemerdekaan itu. Murid-murid kemudian diminta melakonkan situasi tersebut menggunakan pakaian dan dialog yang telah dicipta. Rumusannya, kumpulan pelajar yang membentang hasil perbincangan mereka ini dengan jelas faham dengan elemen KBAT kerana melibatkan aras mentafsir, menilai dan mencipta dalam pengajaran yang akan dilaksanakan.



KELAS TANPA TEMBOK
Tenaga pengajar baik di sekolah, kolej atau universiti sentiasa mencari jalan mempelbagaikan kaedah dan teknik pengajaran. Tujuannya adalah untuk menimbulkan keseronokan dan meningkatkan keberkesanan PdP. Menjalankan kelas di luar bilik darjah mampu meningkatkan keseronokan dan memberi suasana baru kepada para pelajar. Pelajar tidak terkongkong dengan suasana bilik darjah, malah bebas dan lapang untuk bergerak
Pada 16 April 2015, pelajar PPISMP Major Sejarah dibawa keluar untuk mengikuti kuliah. Mereka dibawa ke bahagian belakang institut untuk melihat flora dan fauna, bukit, laut dan bangunan. Berdasarkan alam semulajadi, binatang dan segala apa yang dilihat, para pelajar dibimbing menghasilkan pantun bertemakan perpaduan dan kemerdekaan negara secara berperingkat. Pada peringkat pertama, para pelajar diminta menghasilkan dua baris pembayang menggunakan unsur-unsur semulajadi, alam sekitar dan bahan ciptaan manusia.
Mereka diminta membina pembayang dan membacakan dua baris pembayang tersebut. Pensyarah membantu membaiki pembayang yang kurang betul dan kurang menarik. Selepas para pelajar agak jelas dan dapat menghasilkan pembayang, mereka diberikan maksud yang diwakili oleh baris ketiga dan keempat. Berdasarkan maksud yang diberi, para pelajar dibimbing menghasilkan pembayang. Para pelajar dimaklumkan bahawa rima akhir baris pertama perlu sama dengan rima akhir baris ketiga. Rima akhir baris kedua pula perlu sama dengan rima akhir baris keempat. Pelajar diminta membaca pantun yang telah lengkap dan diberi markah mengikut ketepatan dan keindahan pantun yang dihasilkan.
Di samping belajar sejarah, PdP yang dijalankan dapat meningkatkan keupayaan pelajar menguasai bahasa dan sastera sebagai jati diri bangsa. Mendalami bahasa dan sastera akan mendekatkan pelajar dengan budaya bangsa dan menjadikan mereka bersopan dan berbudi luhur. Menghasilkan pantun bertema sejarah juga melibatkan kemahiran berfikir (KBAT) kerana pelajar perlu menghubungkait, mengaplikasi dan mensintesis.

