

PUSAT PEMBANGUNAN AKADEMIK (PPA)
Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang
KURSUS JURULATIH KBAT PENSYARAH IPGKPP
Kursus dari 11 hingga 12 Mei 2015 ini melibatkan para pensyarah dari beberapa jabatan antaranya Jabatan Pengajian Melayu, JAPIM dan Sains Sosial. Kursus berlangsung di Blok Beringin di bawah kendalian Dr. Mohd Azhar Bahari selaku Penyelaras Kursus. Para peserta diberikan input secara teori dan praktikal bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka tentang KBAT. Pada hari kedua para peserta diminta mengaplikasi kemahiran berfikir dalam Rancangan Pengajaran Harian (RPH). Pada penghujung sesi, setiap kumpulan diminta membentangkan hasil tugasan mereka. Tugasan tersebut akan dimurnikan, dikompilasi dan dijadikan modul rujukan bagi mengendalikan kursus dan contoh kepada para pelajar guru dalam menghasilkan RPH.



MESYUARAT JAWATANKUASA AKADEMIK BIL. 1/ 2015
Mesyuarat tersebut telah dijalankan pada 12 Mei 2015, jam 8.30 pagi di Bilik Mesyuarat Rijeng institut. Mesyuarat dipengerusikan oleh Pn. Hjh Suriah Abdul Manap, Timbalan Pengarah. Antara maklumat utama yang dibincangkan dalam mesyuarat itu ialah laporan Setiausaha Akademik, maklumat akademik baharu PISMP Jun 2015, dapatan verifikasi kerja kursus dan pembentangan jadual waktu semester 2/2015.


MESYUARAT PENYELARASAN PELAKSANAAN KURSUS JURULATIH KEMAHIRAN BERFIKIR
Mesyuarat tersebut berlangsung pada 29 April 2015, jam 2.30 petang di Bilik Mesyuarat Rijeng melibatkan Penyelaras Kemahiran Berfikr dan Ahli Jawatankuasa Kemahiran Berfikir. Dua sesi kursus jurulatih kemahiran berfikir akan dilaksanakan pada 11 hingga 12 Mei 2015 dan 14 hingga 15 Mei 2015. Kursus akan melibatkan para pensyarah IPGKPP yang akan dilatih menghasilkan modul kemahiran berfikir mengikut bidang masing-masing. Sijil akan dikeluarkan kepada para peserta yang terlibat.
Modul yang dihasilkan nanti akan menjadi panduan kepada para jurulatih kemahiran berfikir untuk melaksanakan kursus dan perkongsian ilmu dengan pihak lain. Ia juga menjadi panduan kepada para pelajar untuk diaplikasi semasa menjalani sesi praktikum nanti.


MAJLIS MENANDATANGANI MOU IPGKPP-SKSG
Majlis menandatangani memorandum persefahaman antara IPG Kampus Pulau Pinang dengan Sekolah Kebangsaan Sungai Gelugor berlangsung pada 17 April 2014, jam 9.00 pagi di Bilik Mesyuarat, Sekolah Kebangsaan Sungai Gelugor. IPGKPP diwakili oleh Hjh. Suriah Abd. Manap, Timbalan Pengarah, En. Jamal Mohamed, Setiausaha Akademik, Dr. Mohamad Fadzil, KJ HEP dan Dr. Roslan Saadon, Penolong Setiausaha Akademik.
Sekolah Kebangsaan Sungai Gelugor diwakili oleh Pn. Hjh. Rohani Ali, Guru Besar, Pn. Noor Azian Ahmat, PK Pentadbiran dan beberapa orang guru dari sekolah tersebut. Wakil IPGKPP disambut baik dan dijamu sarapan pagi. Kemudian majlis dimulakan dengan bacaan doa dan ucapan Guru Besar. Seterusnya, Pn. Hjh. Suriah dijemput berucap dan diteruskan dengan dialog antara dua pihak sebelum majlis tandatangan memorandum persefahaman. Memorandum tersebut menggariskan persetujuan kerjasama dalam pelbagai perkara berkaitan kurikulum, kokurikulum dan peningkatan profesionalisme keguruan. Sekolah Kebangsaan Sungai Gelugor merupakan sekolah Melayu tertua yang dibangunkan pada tahun 1826.

